“We Are The World”: Antem Mesin Masa
We Are The World ialah sebuah antem yang merentasi generasi — daripada Generasi X (1965–1980), Baby Boomers (1946–1964) hingga Millennials (1981–1996). Pelbagai kenangan kembali setiap kali antem ini didengari. Seolah-olah kita kembali ke masa lalu — itulah perasaan yang hadir ketika menonton dokumentari The Greatest Night in Pop, yang diterbitkan pada tahun 2024.
Dokumentari ini menyingkap proses di sebalik penghasilan karya ikonik tersebut. Ia diarahkan oleh Bao Nguyen dan menampilkan bintang-bintang yang terlibat dalam rakaman lagu ini ketika mereka berada di kemuncak kerjaya masing-masing.
Barisan legenda seperti Lionel Richie, Michael Jackson, Cyndi Lauper dan Bruce Springsteen bersama puluhan artis lain bergabung dalam satu malam yang penuh emosi. Dokumentari ini merakam pelbagai detik yang mencuit perasaan dan menghidupkan kembali suasana rakaman yang bersejarah itu.
Lagu We Are the World diterbitkan oleh Quincy Jones. Keupayaan beliau mengendalikan himpunan artis bertaraf dunia dalam satu sesi rakaman bukanlah sesuatu yang mudah. Antara babak yang paling diingati ialah apabila beliau menulis satu pesanan di pintu masuk studio: “Leave your ego at the door.”
Satu peringatan agar semua yang hadir meninggalkan ego masing-masing — walaupun mereka adalah bintang besar di pentas dunia.
We Are the World diterbitkan pada tahun 1985 sebagai satu usaha kemanusiaan untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa kebuluran yang melanda Ethiopia dan beberapa kawasan lain di Afrika. Idea ini tercetus apabila dunia dikejutkan dengan imej penderitaan akibat kebuluran yang disiarkan di televisyen. Usaha ini digerakkan oleh Harry Belafonte, manakala lagu tersebut ditulis oleh Michael Jackson dan Lionel Richie. Kempen ini di bawah nama USA for Africa. Melalui usaha ini, industri muzik bersatu untuk menyuarakan solidariti dan menggerakkan bantuan kemanusiaan, menjadikan We Are the World antara lagu amal paling ikonik dalam sejarah Imperialisme Amerika.
Seiring dengan perang dan konflik yang terus meletus di pelbagai tempat di dunia, lagu ini seolah-olah kembali relevan.
The Greatest Night in Pop ibarat santapan rohani dan sebuah mesin masa yang membawa penonton kembali ke satu detik penting dalam sejarah muzik dunia. Ia juga merakam satu titik masa buat kita — tidak kira di mana kita berada dalam fasa kehidupan ketika itu. Tonton sekarang. Dokumentari ini boleh distrim di Netflix
Comments ()