Berita dan Secangkir Latte
Hari ini di Malaysia, kita menonton berita perang di Iran sambil menghirup secawan latte. Setiap klip, hantaran dan gambar yang muncul di skrin membentuk cara kita memahami konflik — kadang-kadang lebih pantas daripada kemampuan kita berfikir untuk menilai kebenarannya.
Dulu, semasa pencerobohan Iraq oleh Amerika Syarikat pada 2003, akhbar dan TV menyediakan naratif lengkap: latar belakang, konteks dan analisis. Maklumat disaring, dibincang dan disusun sebelum dibentangkan. Menjadi tanggungjawab pihak editorial memastikan pembaca memahami keseluruhan cerita.
Namun ketika konflik besar berlaku di luar sana, kita disajikan pula pertikaian yang berlaku dalam negara — isu kuil di tanah orang, dakwaan memijak al-Quran, dan pelbagai ketegangan antara kaum. Perhatian kita terpecah, emosi dipancing.
Hari ini, media sosial seperti TikTok, X dan Instagram menyebarkan serpihan berita secara pantas dan langsung. Tentera, orang awam dan pempengaruh menyiarkan klip serta foto mengikut sisi masing-masing. Naratif menjadi pelbagai, kadang-kadang mengelirukan kerana tiada lagi proses penilaian seperti dahulu.
Kekuatan media sosial terletak pada kelajuan dan visualnya. Dalam beberapa saat, klip pendek boleh tersebar ke seluruh dunia. Orang ramai bukan sahaja menerima berita, malah terpaksa menggalas tanggungjawab sendiri untuk mentafsir dan menyaring maklumat — sama ada ia benar atau sekadar rekaan yang beragenda.
Perbezaannya jelas. Dahulu, tanggungjawab etika laporan digalas oleh media pelapor. Hari ini, media baru membolehkan kita memberi respon tanpa berfikir panjang. Kita menilai peristiwa berdasarkan serpihan maklumat dan tajuk sensasi, bukan keseluruhan konteks.
Kesannya jelas — kita merasai, menilai dan menghukum mengikut emosi sebelum sempat meneliti kebenaran.
Secangkir latte di tangan, kita menikmati sensasi berita yang memuaskan halwa telinga dan mata. Namun persoalannya adakah kita benar-benar melihat realiti, atau sekadar versi yang dibentuk oleh skrin dan algoritma? Tidak salah untuk berhati-hati — menilai sebelum menghukum, dan berfikir sebelum meninggalkan respons.
Comments ()